Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyampaikan sijil penghargaan kepada KK SUPER MART di atas usaha dan sumbangan KK SUPER MART dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.
Satu majlis khas iaitu Majlis Apresiasi Penyumbang dan Petugas COVID-19 yang dianjurkan oleh JAWI di Hotel Tamu, Kg. Baru Kuala Lumpur turut menampilkan pemberian sijil penghargaan kepada penyumbang-penyumbang lain dan agensi jabatan kerajaan yang bertugas di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Turut hadir dan menerima penghargaan dari JAWI ialah Tuan Tang Rui iaitu Menteri dari Kedutaan Republik China di Malaysia.
Sijil penghargaan disampaikan kepada Datuk Seri Dr. KK Chai selaku Pengasas & Pengerusi Eksekutif KK Supermart & Superstore Sn Bhd oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan diiringi oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Dato’ Sri Dr. Santhara J.P serta Pengarah JAWI, Tuan Haji Mohd Ajib bin Ismail.
Sejak tahun 2019, KK SUPER MART merupakan rakan strategik JAWI Food Bank. Program ini adalah inisiatif JAWI untuk membantu golongan asnaf, fakir miskin, gelandangan, muallaf, Orang Kurang Upaya (OKU) dan golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama.
“Saya percaya membuat kebaikan tidak perlu dibataskan oleh perbezaan bangsa dan agama. Sebagai usahawan dan sebagai manusia biasa, saya juga pernah lalui kesusahan. Pertemuan dengan Tn.Hj. Mohd Ajib di majlis BB Charity tahun 2019, merupakan takdir Tuhan untuk saya panjangkan sumbangan saya.
Saya melihat kerjasama dengan JAWI adalah saluran yang betul untuk membantu masyarakat Islam. Maka tidak salah saya berbakti kepada masyarakat walaupun dari latarbelakang agama yang berbeza.”.
Sebagai Rakan Strategik JAWI Food Bank, sumbangan diberikan adalah terdiri daripada produk makanan dan minuman. Sehingga tahun 2020 lebih dari RM100 ribu nilai barangan telah disumbangkan kepada JAWI Food Bank. JAWI Food Bank akan membuat agihan barangan-barangan ini kepada golongan sasaran di sekitar Wilayah Persekutuan.
Melalui JAWI Food Bank juga, KK SUPER MART turut memberikan sokongan dan sumbangan kepada aktiviti yang dianjurkan seperti program ‘Pray for Pasir Gudang’ untuk penduduk yang terlibat dengan pencemaran di Sg. Kim Kim, Pasir Gudang dan dan Karnival Rahmah@KR19 di Putrajaya.