PETALING JAYA: Bekas menteri pelancongan, seni dan budaya Mohamaddin Ketapi menafikan beliau memperkecilkan pasukan keselamatan yang mempertahankan negara semasa pencerobohan Lahad Datu pada 2013 dengan berkata, kenyataannya dipesongkan dan diambil di luar konteks.
Katanya, berkata beliau sama sekali tidak memperkecilkan atau menghina pasukan keselamatan yang mengorbankan nyawa mereka untuk mempertahankan kedaulatan negara, tetapi hanya mahu menunjukkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) menambah baik aset pertahanan bagi menghalang insiden sebegitu berlaku lagi.
Mohamaddin berkata, beliau memberi gambaran tentang kesusahan yang dihadapi oleh pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia kerana kegagalan kerajaan Sabah sebelum ini mengendalikan isu pendatang haram.
“Seharusnya video yang ditularkan tersebut dimainkan sepenuhnya,” kata beliau dalam kenyataannya.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya permainan kotor pihak tertentu yang jelas mahu menjatuhkan maruah parti Warisan Sabah.
“Sekiranya isu pendatang tanpa izin menjadi keutamaan kerajaan terdahulu, kejadian di Kampung Tanduo (terletak di Lahad Datu) tidak mungkin berlaku.
“Saya sekali lagi menegaskan bahawa saya sama sekali tidak menghina anggota keselamatan kita yang bertugas semasa kejadian di Tanduo seperti yang diputarbelitkan oleh pihak lawan, khususnya parti dari semenanjung.”
Mohamaddin, yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu, juga meminta maaf kepada anggota keselamatan negara jika video tersebut mengguris hati.
Dalam klip video ucapan kempen berdurasi 33 minit yang dipaparkan di akaun Facebooknya, Mohamaddin berkata, pasukan keselamatan “mengebom kelapa sawit dan rumah”, dan “pasukan di darat berperang dengan ayam dan anjing”.
“Bila pilihan raya (PRU 2013) berakhir, tiada lagi perang,” katanya, dengan menambah semasa berkhidmat sebagai Adun sebelum ini, beliau tidak pernah menemui lanun bersenjata atau warga Filipina yang mahu mengisytiharkan perang atau mengambil semula Sabah.
Beliau berkata, ramai orang terkorban dalam pertempuran di Lahad Datu itu kerana ia “sandiwara”.
Kenyataan beliau mengundang kritikan banyak pihak dengan pemimpin Umno Sabah Abdul Rahman Dahlan menggesa Presiden Warisan Shafie Apdal menuntut Mohamaddin memohon maaf berhubung kenyataan beliau.
Presiden Parti Cinta Sabah Anifah Aman juga menyelar kenyataan bekas menteri persekutuan tersebut dan berkata ia merupakan penghinaan kepada pasukan keselamatan dan orang yang mereka sayangi.
“Seharusnya parti Warisan bermuhasabah dan malu dengan kenyataan yang jijik ini. Rakyat seharusnya menolak pimpinan parti Warisan yang sebegini.
Pada 11 Februari 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu memasuki perairan Sabah dan mendarat di Lahad Datu, sekali gus mencetuskan pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia.
Insiden itu berakhir dengan kematian 56 pengganas, 10 anggota keselamatan dan 6 orang awam. Pengganas yang hidup ditangkap atau menyerah diri.
Konflik itu diisytihar tamat pada 10 April 2013.–FMT