Local NewsNews

APMM gagalkan cubaan seludup lima tan ketum bernilai RM900,000

 

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup ke negara jiran lima tan daun ketum dianggarkan bernilai RM900,000 di kedudukan 2.0 batu nautika dari muara Kuala Kedah, di sini, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Mohd Zawawi Abdullah berkata berdasarkan maklumat dan intipan pihaknya mengenai aktiviti penyeludupan berskala besar di perairan itu, sebuah bot APMM telah digerakkan ke lokasi kira-kira 1.40 pagi.

“Setibanya di lokasi sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dan mencurigakan dikesan keluar menuju muara Kuala Kedah dan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba memecut bot menuju ke daratan berhampiran.

“Namun bot tersebut berjaya dipintas dan dua lelaki tempatan berusia 30-an ditahan. Pemeriksaan di atas bot itu menemukan 200 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum dianggarkan seberat dua tan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, susulan penahanan dua suspek itu pihaknya menemukan 300 bungkusan plastik hitam lagi berisi tiga tan daun ketum di satu lokasi pemunggahan di kedudukan 4.0 batu nautika timur Kuala Kedah.

Menurutnya, kesemua daun ketum itu cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran di Thailand mencecah lebih RM180 sekilogram berbanding RM40 sekilogram di pasaran tempatan.

Mohd Zawawi berkata kedua-dua suspek dipercayai menerima upah sekitar RM700 bagi setiap penghantaran berdasarkan berat timbangan daun ketum yang dibawa.

Katanya, kesemua daun ketum berserta bot fiber dengan dua enjin dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Ini merupakan rampasan terbesar bagi Maritim Malaysia tahun ini, walaupun telah banyak rampasan dan tangkapan dilakukan sebelum ini, namun aktiviti ini dilihat terus aktif oleh penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan,” katanya.

What's your reaction?

Excited
0
Happy
0
In Love
0
Not Sure
0
Silly
0

You may also like

Comments are closed.

More in:Local News