EconomicsNews

Dewan Negara lulus RUU Kewangan 2021

Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2021 yang melibatkan pindaan ke atas lapan akta dalam usaha melaksanakan Bajet 2022.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan mendapat sokongan lebihan suara selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah setelah dibahaskan enam senator.

Ini melibatkan Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Penggalakan Pelaburan 1986, Akta Kewangan 2012 dan Akta Kewangan 2018.

Ketika menggulung perbahasan RUU itu hari ini, Mohd Shahar berkata Kementerian Kewangan telah menyediakan strategi jangka sederhana untuk menambah hasil percukaian, memperluaskan asas hasil, memanfaatkan potensi sektor tidak formal dan mengurangkan ketirisan cukai.

“Kita (kementerian) akan melakukan penambahbaikan pentadbiran cukai melalui pengurusan data yang berkesan dan kita juga berupaya untuk mengintegrasi data dengan agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Katanya kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan cukai keuntungan modal ke atas keuntungan modal daripada jual beli saham.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sedang menjalankan inisiatif yang berterusan untuk menstruktur sesuatu sistem percukaian yang seimbang, adil dan saksama supaya ia dapat menyokong dan meningkatkan hasil negara.

“Inisiatif ini perlu untuk meningkatkan hasil negara bagi memulihkan negara supaya kita dapat melaksanakan aktiviti permulihan berdasarkan keadaan semasa dan proses pemulihan COVID-19 pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata Akta Cukai Pendapatan 1967 yang dibentangkan dalam RUU itu memberi kebenaran kepada Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan maklumat akaun bank pembayar cukai hanya bagi kes-kes melibatkan perintah garnisi di mana mahkamah telah memutuskan untuk membenarkan garnisi dibuat.

Beliau berkata prosiding garnisi adalah proses untuk menguatkuasakan penghakiman wang dengan menyita atau menahan hutang yang perlu dibayar kepada mana-mana pihak, susulan terdapat tunggakan cukai yang belum dijelaskan oleh pembayar cukai.

“Dengan pengenalan peruntukan baharu ini, ia akan membantu LHDN mentadbir sistem cukai langsung negara dengan lebih efektif dengan meminimumkan ketirisan cukai disebabkan kegagalan pembayar cukai untuk melangsaikan hutang cukai yang wujud serta meningkatkan kadar pematuhan cukai sukarela dalam kalangan pembayar cukai,” katanya.

Kuasa yang diberikan di bawah peruntukan baharu ini tidak memberi kuasa mutlak kepada LHDN untuk mengakses akaun bank pembayar cukai dengan sewenang-wenangnya.

What's your reaction?

Excited
0
Happy
0
In Love
0
Not Sure
0
Silly
0

You may also like

Comments are closed.

More in:Economics

Economics

TPB 2030

Kerajaan amat menitikberatkan pencapaian keseimbangan dan kesaksamaan di kalangan rakyat ⁣ Status sosioekonomi Bumiputera masih ...